Ada satu malam. Aku bersembang. Bersembang jari dengan seseorang yang aku tak pernah jumpa bersemuka. Kenalan YM. Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Korea.
Dia cakap dia sambung belajar lagi. Sambung ambil ijazah. Sambung walaupun rasa susah. Aku cakap teruskan. Pelan-pelan kayuh. Aku cakap hidup ini macam naik basikal. Baru terlintas di fikiran aku bahawa hidup ini sememangnya macam naik basikal.
Aku rasa tak ada orang yang lahir terus ada kemahiran menunggang basikal. Aku sendiri belajar naik basikal bila masuk sekolah rendah. Masa umur lebih kurang 8 atau 9 tahun. Aku tak dapat ingat tarikh yang tepat. Tapi sampai sekarang aku dapat ingat segala kesusahan yang terpaksa aku tanggung untuk naik basikal. Aku perlukan roda kecil untuk mengimbang. Roda kecil di kiri dan kanan. Membantu untuk memberi kesimbangan. Roda kecil yang bising. Sangat bising.
Bila tiada roda kecil aku perlukan kakak aku untuk memegang basikal agar tidak senget. Agar tidak terus sendeng dan jatuh. Agar basikal dan aku tidak jatuh dan seterusnya tergolek. Aku lambat belajar menunggang basikal. Bebal dengan kemahiran mengimbang. Aku tak pandai mengayuh sambil memegang hendal basikal. Aku pernah mula dengan menunggang dari atas bukit kecil agar aku boleh belajar apa itu keseimbangan. Aku turun laju, dan laju dan senget, dan senget dan kabushhh… tersadai dalam semak. Aku tak pandai pakai brek.
Begitu juga dengan hidup ini. Setiap insan perlu hidup seperti mana menunggang basikal. Perlu belajar mengenal erti kesusahan. Mengenal keseimbangan. Mengenal kegembiraan. Mengenal keperitan. Belajar mengenal hidup sebagai manusia.
Ada insan yang bertuah. Dikurniakan basikal mewah. Jenama terkenal. Berbadan tegap campuran logam aloi terkini. Gemerlap dengan lapisan kromium. Hebat dengan teknologi pertukaran gear dan suspensi apungan terkini. Mewah semewah-mewahnya. Tapi masih perlu dikayuh. Basikal mewah juga perlu dikayuh untuk bergerak. Sama sahaja. Basikal buruk juga perlu dikayuh untuk bergerak. Seperti juga manusia. Tak kira yang kaya atau yang miskin, semuanya perlu meneruskan hidup. Mungkin yang berbeza ialah cara hidup mereka.
Ada yang pantas meluncur. Ada yang menggigil merayap. Ada bermacam kelajuan basikal boleh dikayuh. Laju atau perlahan. Cuma jangan berhenti berkayuh kerana ia pasti jatuh. Begitu juga manusia. Perlu terus hidup, sama ada pantas atau perlahan. Hidup yang pantas perlukan kayuhan yang laju dan tenaga yang banyak. Hidup yang perlahan hanya perlu kayuh sekali-sekali tanpa perlu berpeluh. Hidup ini sememangnya ada bermacam-macam cara.
Apa yang penting ialah teruskan berkayuh. Kayuhlah secara sederhana. Kayuhan yang terlalu laju bakal mengundang risiko. Gagal mengelak segala tiang atau lubang di hadapan. Kayuhan terlalu perlahan pasti akan ditinggalkan jauh di belakang. Mungkin juga jatuh akibat sukar mengimbang. Kayuhlah secara sederhana.
Pilihlah jalan yang terbaik dan selesa. Pilihlah jalan yang bersesuaian dengan minat agar mendatangkan keceriaan bila melihat pemandangan yang dihidangkan. Pilihlah jalan yang menuju destinasi yang telah ditetapkan. Kesemua pilihan itu berdasarkan arah tangan yang memegang hendal. Pilihan mengikut citarasa diri sendiri. Pilihlah jalan yang terbaik dan selesa.
Hidup ini umpama menunggang basikal. Teruskan berkayuh. Elakkan dari terjatuh. Elakkan dari memilih jalan yang sukar dan merbahaya. Buat pilihan yang sewajarnya. Pilihlah mengikut kata hati. Kayuhlah mengikut jalan yang berdestinasikan kebahagiaan.
Namun, seringkali ada yang terleka. Terbuai dek pemandangan indah. Terlena dek rasa ceria. Terlena yang terbuai lalu terjatuh. Terlupa mengayuh. Tersilap mengimbang. Terlajak mengelak. Usah risau. Usah ragu. Usah pilu. Jatuh itu biasa. Bangunlah kembali dengan hati membara. Bangun dan kayuh kembali seperti biasa. Jatuh itu membuka minda. Jatuh itu membuka mata. Jatuh itu membuka rasa. Jangan mengalah. Teruskan kayuhan selagi hayat basikal itu masih ada.
0 comments:
Post a Comment