CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 10, 2008

Islam bukan untuk MELAYU

Sejak dua tiga bulan yang lepas,saya ada berbincang dengan teman-teman rapat akan isu kita sebagai umat Islam apa patut kita lakukan.Disamping itu isu-isu yang disentuh juga ialah kepentingan mempertahankan bangsa kita sendiri sebagai seorang mukmin dan juga fisabilillah.Pada mulanya,saya seakan-akan berpegang teguh dengan pendapat kawan-kawan saya,dan saya merasakan bangsa Melayu harus mempertahankan kedudukan mereka di negara ini sebagai seorang umat Islam.Semangat assabiah tidak lagi saya peduli,saya percaya dengan menyertai salah satu organisasi atau pertubuhan ini yang menyebarkan mesej dakwah dan jihad,semangat persaudaraan atau ukhwah itu akan lebih erat antara ahli berbanding sebelum kita menyertainya.

Semangat bangsa mula menebal dalam diri sehingga alpa seketika bahawa majoriti teman-teman saya adalah datang dari bangsa lain dan bukan melayu.Masa yang telah saya luangkan,kenangan di sekolah,persahabatan yang terjalin bersama mereka yang solah-olah abang dan adik telah saya lupa sejenak.Semuanya kerana termakan dengan hujah-hujah teman-teman yang berbangsa MELAYU yang kalau direnung kembali tidak ada logikanya.Namun dengan rahmat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,saya telah diberi hidayah yang membuatkan saya terfikir sejenak tentang isu-isu diatas apabila terbaca sepotong ayat dari kitab suci dimana Allah berfirman:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."Al-Hujuraat 49:13.

Ayat diatas telah membukakan mata dan minda saya untuk berfikir sejenak,Allah tidak pernah menyuruh umat Islam untuk mempunyai perasaan buruk sangka terhadap bangsa lain yang bukan sebangsa dengan kita malah dengan jelas Allah menyatakan jadinya kita dari berbagai-bagai bangsa adalah untuk berkenal-kenalan,beramah mesra antara satu dengan yang lain.Disini tersangkalah akan pendapat atau fahaman yang mengatakan di Malaysia ini umat Islam yang berbangsa Melayu harus berjaga-jaga dan sedar agar kuasa ekonomi tidak jatuh ketangan atau di monopoli oleh bangsa lain.Secara tidak sedar fahaman ini menyuntik sifat assabiah dalam diri dan bukannya sifat sayang menyayang antara satu bangsa dan bangsa yang lain seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T.

Sekali lagi fikiran saya disentak dan disedarkan atas pengaruh-pengaruh yang tidak sihat itu apabila saya diceritakan bahawa ulamak-ulamak besar dan terkemuka di mesir tidak pernah menyapa bangsa yang tidak seiman dan keyakinan dengan mereka sebagai orang lain.Malah ada diantara mereka yang tidak seiman dengan para ulamak tersebut dianggap dan disapa sebagai 'ikhwan' iaitu saudara.Saudara setanah air,saudara spermainan ketika kecil,walau mereka bukan saudara seiman.Umat kristian disana dipanggil dengan nama 'ikhwanulna al aqbath'.Dan di dalam sejarah para anbia Kaum nabi Nuh adalah kaum yang mendustakan para Rasul mereka,dan tidak mahu seiman dengan nabi Allah Nuh.Meskipun sedemikian Allah tetap menyebut Nuh adalah saudara mereka.Seperti yang boleh kita lihat dua potong ayat dari Kitab Suci Al-Quran yang di mana Allah berfirman:

"Kaum Nuh telah mendustakan para rasul.Ketika saudara mereka (Nuh) berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?"Asy-Syu'araa' 26:105-106.

Ayat diatas jelas menyatakan bahawa walaupun mereka tidak seiman dengan kita namun kita tetap bersaudara.Maka sejuk sedikit hati saya kerana setelah membaca ayat diatas saya percaya bahawa tindakan menganggap teman yang tidak sebangsa dan seiman dengan saya sebagai saudara selama ini adalah benar.Mungkin disebabkan sedikit emosi dan tidak rasional saya telah termakan dengan hujah-hujah yang tidak ada asasnya,hujah yang mengatakan kita hanya akan dapat merasai semangat sebenar persaudaraan dan akan lebih erat jikalau menyertai sesetengah jemaah,persaudaraan hanya terjalin antara umat islam sahaja yang pada dasarnya hanya cuba menyuntik sentimen bangsa dan semangat assabiah dalam diri ini.Sekali lagi fahaman ini ternyata berlawan dengan ayat diatas.

Terdapat sebuah lagi hujah yang cuba disuntik oleh jemaah ini yang membuatkan saya terfikir ialah sesiapa yang menyertai jemaah tersebut akan menjadi saudara dan akan memperolehi persaudaraan yang lebih diiktiraf disebabkan ianya berlandaskan bai'ah yang telah dilafazkan.Tetapi,di dalam kitab suci Al-Quran Allah telah berfirman :

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." Al-Imran 3:103.

Ayat diatas menyatakan barang siapa atau umat islam yang bertakwa dan beriman kepada Allah iaitu tuhan semesta alam maka mereka adalah bersaudara.Dan dimanakah logiknya jikalau hujah mereka mengatakan kita hanya akan dapat merasakan semangat persaudaraan selepas kita melafazkan bai'ah dan sebelum kita berbai'ah semangat antara umat Islam tak ubah seperti hanya seorang teman biasa,sedangkan ayat diatas menunjukkan jikalau kita umat Islam yang beriman maka kita wajib mewujudkan perasaan persaudaraan antara satu sama lain,bukan selepas kita berbai'ah barulah wujud perasaan itu.

Konklusinya,adalah tidak wajar bagi mana-mana umat Islam di muka bumi ini untuk mencampur adukkan sebarang sentimen bangsa dengan Islam.Ini jelas kerana Rasulullah S.A.W berdakwah tidak mengira bangsa.Dan tujuan Islam diturunkan bukan hanya untuk orang berbangsa Arab,Cina,Melayu dan lain-lain.Islam adalah untuk semua,nescaya jika dicampur adukkan semangat mempertahankan bangsa dalam menyebarkan syiar Islam maka sudah tentu Rasulullah tidak berjaya membawa Islam ke seluruh pelusuk dunia.Oleh itu janganlah kita mempersempitkan Islam malah memperluaskan lagi.

Ed.alfirdaus
2008

1 comments:

Perantau Kasih said...

Assalamualaikum. Saya setuju dengan pendapat saudara. Islam itu agama syumul. Keterbukaan Islam bertepatan dengan syariat adalah untuk kesejehteraan manusia sejagat. Konsep ukhwah dikalangan ahli jemaah kadang2x membuat saya tertanya-tanya. Dimana letaknya peranan umat islam (terutama dai') dalam mengembalikan kegemilangan Islam jika masih wujuh assobiyah dalam diri kita. Jemaah adalah utk menguatkan strategik dakwah kerana dengan beramai kita akan menjadi kuat. Islam untuk semua, semua untyk Islam. Tapi sayang, pandangan ini mungkin akan terkubur jika orang melayu masih bermenteliti di takuk lama. Maka teruskan lah dakwah saudara.